Ahli MATTA kecewa dengan terma lanjutan moratorium pinjaman

PETALING JAYA: Ejen pelancongan kecewa dengan institusi kewangan berikutan terma dan syarat yang dikenakan ke atas mereka kerana melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman yang tamat bulan lalu.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Tan Kok Liang, berkata banyak ahli MATTA mengadu syarat baharu menyebabkan mereka membayar lebih untuk jangka masa panjang.

“Beberapa bank mahu naikkan kadar faedah, sementara yang lain minta cagaran,” katanya.

“Kerajaan minta kami berbincang dengan bank tapi bank pula tawarkan syarat yang tak menguntungkan.

“Perniagaan kami sudah menderita kerana Covid-19. Mengapa bank buat hidup kita lagi susah? ”

Tan berkata ahli MATTA diberitahu untuk menulis aduan kepada persatuan. “Kita akan hubungi Bank Negara dengan maklum balas itu,” katanya.

Beliau beritahu FMT, MATTA diminta berhubung dengan bank pusat jika ahlinya menghadapi masalah dengan bank berhubung moratorium pinjaman.

“Apa yang kami mahu adalah supaya moratorium dilanjutkan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Pada Julai, Bank Negara berkata dengan moratorium umum yang berakhir pada 30 Sept, bank perlu sedia membantu para peminjam yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan rancangan pembayaran balik dan pengaturan lain yang sesuai dengan keadaan mereka.

Katanya lagi, peminjam yang terjejas perlu memohon terus dengan bank mulai 7 Ogos untuk mendapatkan fleksibiliti pembayaran balik.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah untuk memberikan lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana yang terkesan dengan masalah berkaitan Covid-19.

Source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/10/02/ahli-matta-kecewa-dengan-terma-lanjutan-moratorium-pinjaman/