'Segerakan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi'

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu industri pelancongan yang sudah merasai impak penularan coronavirus, kata Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata kesan penularan virus itu terhadap sektor pelancongan negara mula dilihat dengan kehadiran pelancong di bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu merosot ketara.

“Justeru, saya menggesa kerajaan supaya segera laksana pakej rangsangan ini. Tidak perlu kaji terlalu lama dan buat keputusan dengan segera supaya kami boleh memberi fokus terhadap tugas utama kami iaitu untuk mempromosikan Malaysia.

“Saya difahamkan kerajaan akan mengkaji dan membuat keputusan, namun seperti saya katakan, jika berjalan di bandar utama-utama, anda kan dapat lihat kurangnya pelancong asing di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pelaksanaan Pameran MATTA Cuti Cuti Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kok Liang turut mengesahkan dakwaan bahawa lebih 95,000 tempahan hotel di seluruh negara telah dibatalkan setakat ini membabitkan anggaran kerugian RM40 juta.

“Ia (pembatalan tempahan) adalah benar. Kebanyakan pembatalan tempahan ini adalah daripada pelancong China,” katanya.

Beliau berkata, MATTA mengemukakan dua cadangan baharu terhadap kerajaan supaya dapat dimasukkan dalam pakej rangsangan ekonomi.

Katanya, cadangan itu adalah memberikan potongan cukai berganda kepada syarikat yang menghantar pekerjanya menjalani latihan atau program ‘membina pasukan’ di acara mesyuarat, insentif, persidangan, pameran (MICE) dalam negara.

Untuk individu, beliau berkata MATTA mencadangkan pengeculaian cukai sehingga RM2,000 untuk pakej pelancongan domestik yang dibeli daripada syarikat berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Pelancongan domestik ini adalah merangkumi pembayar cukai, pasangan dan juga anaknya.

“Dengan cadangan ini, kami berharap dapat menggalakkan rakyat Malaysia untuk melancong di dalam negeri, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan sektor pelancongan tempatan,” katanya.

Pameran MATTA Cuti Cuti Malaysia akan diadakan pada 4 hingga 5 April depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan penyertaan lebih 200 pempamer.

MATTA turut mengumumkan pemberian diskaun 40 peratus sewa kepada pempamer yang menyertai pameran berkenaan.

Sementara itu, persatuan turut mengumumkan penundaan Pameran MATTA yang sepatutnya berlangsung Mac ini kepada 1 hingga 3 Mei depan.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/02/654586/segerakan-pelaksanaan-pakej-rangsangan-ekonomi