Belanjawan 2021, MATTA kecewa

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini dianggap tidak memberikan manfaat kepada pemain industri dan pekerja dalam sektor pelancongan yang kini terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dalam satu kenyataan, hari ini menyatakan kekecewaan kerana belanjawan itu gagal menyediakan program bantuan yang kukuh untuk melindungi pekerjaan dan perniagaan dalam sektor itu.

"Dalam keadaan industri yang terjejas teruk, belanjawan kali ini tidak mengambil kira kebajikan 3.6 juta pekerja serta syarikat kecil dan sederhana di sektor ini.

"Sekatan perjalanan menyebabkan keperluan untuk melancong akan terus berkurang sehinggalah vaksin ditemui," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Belanjawan 2021 gagal memenuhi keperluan sektor pelancongan terutamanya industri kecil dan sederhana selain tiada satu pun inisiatif disebut untuk melindungi pekerjaan dalam sektor berkenaan.

"Program subsidi upah perlu dipertingkat untuk mengelakkan lebih ramai diberhentikan kerja dan pemberian morotarium untuk industri pelancongan perlu dilanjutkan sehingga Jun tahun hadapan.

"Industri yang terdiri daripada kemudahan penginapan, ejen dan pemandu pelancong, pengangkutan, pengendali makanan dan minuman, menyumbang 15 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan juga penyumbang kelima tertinggi pertukaran mata wang asing selain menyediakan pekerjaan kepada 3.6 juta orang," jelasnya.

Katanya, belanjawan kali ini tidak mengambil kira insentif untuk memacu industri pelancongan tempatan dan gagal memperkasa industri ini yang semakin tenat.

"Peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara tidak mencukupi untuk meningkatkan produk pelancongan.

"Sekiranya tiada bantuan dan sokongan yang wajar dalam tempoh 12 bulan ini, industri akan merundum dengan lebih cepat dan drastik," kata kenyataan itu lagi.

Menurut MATTA, kerajaan sewajarnya menyediakan peruntukan untuk program latihan dan penambahbaikan kemahiran bukan sahaja kepada kakitangan syarikat penerbangan tetapi untuk industri pelancongan secara keseluruhannya.

Katanya lagi, Belanjawan 2021 gagal memenuhi keperluan dasar industri dan kerajaan digesa menilai semula bentuk bantuan dan sokongan terhadap industri pelancongan supaya terus dapat menyediakan pekerjaan seterusnya menjana ekonomi negara.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini, beliau mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong.

Selain itu, RM50 juta juga diperuntukkan bagi menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan daripada syarikat penerbangan yang terkesan akibat COVID-19.

Source: https://origin.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/751112/belanjawan-2021-matta-kecewa