Bantu kewangan syarikat penerbangan

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyarankan kerajaan memberi sokongan kewangan kepada syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk menjamin kesediaannya dalam tempoh masa selepas Covid-19.

Saranan itu dibuat sebagai respons cadangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya MAB dan Kumpulan AirAsia digabungkan, kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

“Industri penerbangan duduk di atas teras keseluruhan ekosistem pelancongan. Sambungan udara penting bagi pelancongan negara dan pemulihan ekonomi,” katanya.

Menurut Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, kebanyakan negara dijangka menyelamatkan syarikat penerbangan masing-masing, contohnya, seperti Kerajaan Singapura yang menyediakan pembiayaan sehingga 19 bilion Dolar Singapura (AS$13 bilion) untuk menyokong Singapore Airlines (SIA).

“Hong Kong menyediakan bantuan 2 bilion Dolar Hong Kong (AS$258 juta) bagi meringankan tekanan mudah tunai syarikat penerbangan serta pengendali perkhidmatan sokongan penerbangan.

“Di samping itu, Kerajaan Amerika Syarikat meraih satu perjanjian secara prinsip dengan syarikat penerbangan utamanya membabitkan bantuan AS$25 bilion manakala Suruhanjaya Eropah meluluskan 455 juta Euro dalam skim jaminan pinjaman kepada Sweden untuk membantu industri syarikat penerbangan negara itu,” katanya.