Belanjawan 2020: MATTA harap lebih banyak peruntukan untuk promosi pelancongan

GEORGE TOWN, 1 Okt -- Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap kerajaan akan menyediakan peruntukan yang lebih besar khusus bagi penggalakan pelancongan dalam Belanjawan 2020 untuk memastikan Tahun Melawat Malaysia 2020 mencapai sasarannya.

Setiausaha Agung Kehormat, Nigel Wong berkata sektor pelancongan memerlukan lebih banyak dana untuk tujuan promosi dan infrastruktur.

“Kami juga berharap kerajaan akan terus menawarkan lebih banyak insentif cukai ke atas syarikat pelancongan dan menurunkan duti berkaitan supaya kos kami juga akan berkurangan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi bagi Pameran MATTA Pulau Pinang 2019 di sini, hari ini.

Beliau memberi contoh iaitu pelepasan cukai yang diberikan sebelum ini kepada ejen pelancongan yang membawa masuk pelancong ke dalam negara.

Insentif itu merupakan langkah positif dan sewajarnya diteruskan, katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijadualkan membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Okt ini di Parlimen.

Sementara itu, Ketua Jualan Malaysia Airlines, Roslan Ismail berkata pihaknya bersedia untuk membawa pelancong ke dalam negara yang dijangka mencecah 30 juta ketibaan sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kami telah bersedia, dan akan menambah baik kesalinghubungan penerbangan untuk menguruskan ketibaan pelancong tahun depan,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini syarikat penerbangan nasional itu menawarkan perkhidmatan ke 1,000 destinasi di 150 negara di samping mempunyai akses kepada lebih 650 lapangan terbang di seluruh dunia.

Terdahulu, Roslan mengumumkan Malaysia Airlines akan menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi tiket Kelas Ekonomi dan Kelas Perniagaan ke semua destinasi semasa Pameran MATTA Pulau Pinang yang akan diadakan pada 11 hingga 13 Okt ini di Setia Spice Arena di sini.

 

Source: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1773557