MATTA harap kerajaan bantu syarikat penerbangan

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyarankan agar kerajaan memberikan sokongan kewangan kepada syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines untuk menjamin kesediaannya dalam tempoh masa selepas Covid-19.

Saranan itu dibuat sebagai respons kepada cadangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya Malaysia Airlines dan Kumpulan Air Asia digabungkan, kata persatuan itu dalam satu kenyataan semalam.

“Industri penerbangan duduk di atas teras keseluruhan ekosistem pelancongan. Sambungan udara adalah penting bagi pelancongan negara dan pemulihan ekonomi,” katanya.

Menurut Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, kebanyakan negara dijangka akan menyelamatkan syarikat penerbangan masing - masing, contohnya, seperti Kerajaan Singapura yang telah menyediakan pembiayaan sehingga S$19 bilion (AS$13 bilion) untuk menyokong Singapore Airlines (SIA).

“Hong Kong pula menyediakan pakej bantuan sebanyak HK$2 bilion (AS$258 juta) bagi meringankan tekanan mudah tunai syarikat penerbangan serta pengendali perkhidmatan sokongan penerbangan.

“Di samping itu, Kerajaan Amerika Syarikat sendiri telah meraih satu perjanjian secara prinsip dengan syarikat-syarikat penerbangan utamanya membabitkan bantuan berjumlah AS$25 bilion, manakala Suruhanjaya Eropah telah meluluskan kira-kira €455 juta dalam skim jaminan pinjaman kepada Sweden, untuk membantu industri syarikat penerbangan negara itu selepas ia terjejas akibat Covid-19,” katanya.

Tan berkata, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) turut mengulangi semula saranan kepada kerajaan di seluruh dunia untuk memberikan bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan.

Dianggarkan Covid -19 akan menyebabkan kerugian sebanyak AS$314 bilion atau RM1.36 trilion kepada syarikat penerbangan global, 25 peratus lebih tinggi daripada jangkaan sebelumnya.

“Tanpa syarikat penerbangan untuk membawa masuk berjuta-juta pelancong di dalam dan di luar Malaysia, industri pelancongan tidak akan mempu untuk maju. Mereka adalah yang pertama dalam barisan panjang rantaian bekalan industri pelancongan yang merangkumi lapangan terbang, pengangkutan jalan raya, keretapi, penginapan, makanan dan minuman, hiburan, perniagaan membeli-belah, perkhidmatan perniagaan, pendidikan serta kesihatan,” tambahnya. — Bernama