MATTA tawar diskaun hebat untuk pameran Cuti-cuti Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Feb  -- Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menawarkan diskaun sewa reruai sehingga 40 peratus, khas untuk ahlinya pada pameran Cuti-cuti Malaysia, MATTA Fair yang pertama tahun ini, yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 5 April ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata pameran itu diharap akan dapat membantu memulihkan industri pelancongan tempatan yang dilihat merudum sejak kebelakangan ini susulan banyak pembatalan tempahan pelancong dari China ekoran penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

“Sekarang ini masa terbaik untuk mengadakan pameran MATTA, eksklusif buat pelancongan domestik bagi memudahkan pengunjung Malaysia menikmati banyak tarikan pelancongan yang menarik dan selamat dalam negara, dan kepada penyedia perkhidmatan untuk mengubah fokus daripada pasaran luar negara ke pasaran domestik,” katanya pada sidang media pengumuman pameran pelancongan domestik di sini hari ini.

Persatuan itu berharap dapat menarik RM20 juta ke RM30 juta jualan pada pameran itu yang disokong bersama Tourism Malaysia, syarikat-syarikat penerbangan, terutamanya Malaysia Airlines Bhd, hotel, tarikan utama dan lain-lainnya dengan lebih 200 reruai disediakan.

MATTA turut mempelawa agensi pelancongan ASEAN termasuk dari Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei ke pameran itu berikutan 69 peratus pelancong asing ke Malaysia adalah dari Asia Tenggara.

Sementara itu, Tan mengesahkan dakwaan pengguna media sosial baru-baru bahawa 95,000 tempahan hotel telah dibatalkan akibat penularan koronavirus, dengan manyatakan sebahagian besar pembatalan dilakukan pelawat dari China.

Menurutnya penggantungan penerbangan dari China memberi kesan terhadap industri pelancongan berikutan 13 peratus daripada jumlah pengunjung ke Malaysia adalah dari negara Tembok Besar itu.

Tan berkata beliau turut bimbang dengan maklumat-maklumat negatif di media sosial yang memburukkan lagi industri pengembaraan.

“Malang sekali, tumpuan pada hal-hal negatif itu telah berjaya menyebarkan kesukaran dan kesuraman, dan ketakutan tersebar lebih pantas daripada koronavirus itu sendiri. MATTA amat bimbang dengan komen yang dikeluarkan, dan bimbang jika negara-negara luar akan fikir Malaysia tidak selamat,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain Tan menggesa kerajaan melaksanakan pakej rangsangan secepat mungkin untuk meremajakan industri pelancongan negara pada waktu genting ini.

“Di bandar-bandar dan kota raya, sekarang sudah kurang pelancong. Hotel terima banyak pembatalan tempahan. MATTA harap jangan buat kajian sahaja, buatlah keputusan cepat,” katanya.

-- BERNAMA