MATTA desak kerajaan tampil pelan bersasar bantu ejen pelancongan

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta kerajaan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman dan program subsidi gaji sehingga 30 Jun ini khas buat syarikat ejen pelancongan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata permintaan itu adalah sebahagian daripada desakan untuk kerajaan tampil dengan pelan bersasar bagi menyelamatkan ejen pelancongan semakin tenat ditambah dengan ramalan industri pelancongan yang suram sepanjang tahun ini.

Mengulas lanjut katanya, MATTA turut meminta pertimbangan terhadap pelepasan bayaran sewa, insurans dan perlesenan berkanun, khususnya buat ejen pelancongan kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami tempoh sukar.

"Kami mahu kerajaan bersikap proaktif dan tampil dengan pelan bersasar buat pemain industri ini yang terjejas kerana tenatnya perniagaan, berikutan persekitaran rapuh dan tidak menentu di mana situasi ini dijangka berterusan hingga akhir tahun.

"Ejen pelancongan berdepan dengan isu kehilangan pendapatan sejak bermulanya wabak COVID-19 dan usaha kerajaan dilihat tidak memberikan kesan signifikan terhadap industri ini.

"Sedangkan ejen pelancongan adalah penting bagi ekonomi Malaysia termasuk memberi sumbangan besar kepada aliran wang masuk ke Malaysia," katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penguatkuasaan semula PKP tetapi hanya membabitkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Melalui penguatkuasaan itu, pergerakan rentas negeri bukan sahaja tidak dibenarkan di seluruh negara di semua negeri yang dikenakan PKP malah juga kawasan PKP Bersyarat (PKPB) serta PKP Pemulihan (PKPP).

Pada masa sama, Kok Liang berkata, kira-kira 5,000 syarikat pelancongan yang kini berada pada fasa tenat digesa untuk bergabung bagi kelangsungan perniagaan dengan pelan pemulihan yang perlu dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, tindakan membenarkan ejen pelancongan untuk menutup premis dan beroperasi dari rumah serta pembatalan Kursus Peningkatan Pelancongan dan Pengembaraan (TTEC) juga adalah antara bantuan sokongan buat mereka.

Katanya, selama ini pelancongan memainkan peranan penting terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional dan menyumbang sebanyak 14.1 peratus atau RM166 bilion pada 2015, 14.5 peratus (RM182 bilion) pada 2016, 14.6 peratus (RM201 bilion) pada tahun 2017.

"Sebanyak 15.2 peratus atau RM220 bilion pula disumbangkan pada 2018 dan 15.9 peratus (RM240 bilion) pada tahun 2019 kepada KDNK negara.

"Namun untuk tahun 2020, pandemik COVID-19 ternyata mempengaruhi industri pelancongan dengan jumlah kerugian yang dianggarkan melebihi RM100 bilion," katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/776122/matta-desak-kerajaan-tampil-pelan-bersasar-bantu-ejen-pelancongan