Terengganu sasar lima juta pelancong

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan kedatangan lima juta pelancong sepanjang tahun ini, dengan jumlah hasil sebanyak RM4 bilion kepada rakyat dan pemain industri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah itu realistik memandangkan kerajaan negeri menumpukan kepada pelancong yang berkualiti, yang dapat memberi pulangan kepada negeri ini.


Menurutnya, dalam usaha merealisasikan hasrat itu, sumber pelancongan negeri ini tidak berteraskan kepada kebergantungan kepada kerajaan semata-mata, tetapi turut melibatkan rakyat dan peranan penggiat-penggiat pelancongan dalam menyediakan pakej-pakej lawatan yang inovatif, perkhidmatan dan kemudahan yang mesra pelancong.

“Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha dalam memastikan prasarana dan kemudahan sokong pelancongan yang menepati keperluan, kemudahsampaian dan keselesaan kepada pelancong.

“Pada masa yang sama, saya ingin melihat peranan yang lebih proaktif daripada bukan sahaja Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), malah badan-badan bukan kerajaan pelancongan lain dengan menerapkan elemen-elemen perkhidmatan sedia ada seperti perkhidmatan MyBus, Bas Kita, Payang Water Taxi, bot penambang dan beca tradisional agar dapat dimasukkan dalam pakej-pakej lawatan.

“Ini antara usaha memperkenalkan keunikan warisan dan tradisi negeri kepada komuniti luar. Terengganu khususnya, dikenali sebagai destinasi mesra Muslim. Apa yang penting ialah, kita menerapkan prinsip iaitu dari segi kepatuhan kepada sistem dan nilai yang ditetapkan oleh syarak, kegiatan yang mendapat keredaan Allah dan kesan yang diperoleh hasil kegiatan pasca pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pejabat Baharu MATTA cawangan Negeri Terengganu di Dataran Panji, di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Tan Kok Lian dan Pengerusi MATTA cawangan Terengganu, Roslan Idris.

Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin berkata, kerajaan negeri kini sedang menyiapkan Pelan Induk Pelancongan Negeri Terengganu yang dijangka akan dibentangkan pada penghujung tahun ini.

Pelan itu katanya, akan memberikan kebaikan kepada semua pihak, khususnya industri pelancongan di Terengganu dengan menumpukan destinasi pelancongan yang mesra Muslim dan mesra pelancong dalam dan luar negara.

 

Source: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/terengganu-sasar-lima-juta-pelancong-1.858308