95,000 tempahan dibatal

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengakui lebih 95,000 tempahan hotel di seluruh negara dibatalkan akibat wabak koronavirus.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, pihaknya maklum dengan dakwaan berkenaan dan mengesahkan ia adalah benar.

“Banyak tempahan dibatalkan dengan kebanyakannya pelancong dari China.

“Jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM40 juta,” katanya pada sidang media mengumumkan pelaksanaan Pameran MATTA Cuti-Cuti Malaysia di sini, semalam. Tan berkata, pembatalan penerbangan dari China juga secara tidak langsung menjejaskan industri pelancongan memandangkan 13 peratus daripada jumlah pelancong adalah dari China.

“Namun dengan pelbagai komen dan berita yang berlegar di media sosial juga boleh menyebabkan pelancong dari negara lain turut bimbang untuk berkunjung ke sini.

“Kita risau jika mereka anggap Malaysia tidak lagi selamat untuk dikunjungi,” katanya. Menurutnya, pihaknya menggesa kerajaan memperkenal pakej rangsangan bagi membantu industri pelancongan khususnya dengan penurunan jumlah pelancong di beberapa destinasi.

“Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu antara destinasi terjejas. “Tidak perlu kaji terlalu lama dan buat keputusan dengan segera supaya kami boleh memberi fokus terhadap tugas utama kami iaitu untuk mempromosikan Malaysia,” katanya.