MENYAMBUT BAIK KEPUTUSAN KERAJAAN ARAB SAUDI HASIL PERBINCANGAN BERSAMA MATTA DENGAN MENTERI HAJI & UMRAH

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2023 – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) merasa amat bersyukur kepada Menteri Haji dan Umrah, Yang Berbahagia Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah yang sudi melapangkan masa bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan Umrah ketika majlis pelancaran Nusuk dan Umrah+ yang telah dianjurkan oleh Saudi Tourism Authority (STA).

Berdasarkan perbincangan yang telah diadakan, MATTA bersyukur berjaya mengetengahkan isu kadar kenaikan harga hotel di Kota Mekah dan Madinah yang meningkat secara mendadak berikutan permintaan yang tinggi sejurus pasca pandemik COVID-19 dan berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani permasalahan ini dengan mengawal harga kenaikan hotel agar tidak keterlaluan kepada jemaah.

MATTA Naib Presiden Haji dan Umrah, Haji Mohd Azri bin Abd Razak mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan Arab Saudi yang meluangkan masa untuk menyelesaikan isu harga tiket penerbangan yang semakin membebankan dan jumlah kekerapan penerbangan ke Jeddah kelihatan semakin terhad khususnya ketika musim kemuncak. MATTA yakin bahawa Kerajaan Arab Saudi akan mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Jeddah bagi memenuhi permintaan dan memudahkan urusan jemaah untuk mengerjakan ibadah umrah.

MATTA menyuarakan bahawa syarikat pelancongan sukar untuk membuat tuntutan bagi jemaah yang mengalami masalah kesihatan ketika menunaikan umrah disebabkan terdapat syarikat insurans yang berbeza melibatkan urusan tuntutan. Kami menghargai jasa kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan isu ini agar menggunakan satu saluran aplikasi bagi memudahkan urusan tuntutan jemaah umrah.

MATTA menyambut baik keputusan pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz (KAIA) yang membenarkan jemaah untuk membawa pulang air zam-zam dengan mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan.

Antara syarat yang dikeluarkan adalah jemaah tidak dibenarkan untuk memasukkan botol air zam-zam ke dalam bagasi sebaliknya membawa bersama ke dalam kapal terbang, operasi penghantaran pembelian air zam-zam hendaklah berlangsung di tempat jualan utama dan hanya botol 5-liter sahaja yang dibenarkan untuk membawa pulang dengan syarat, jemaah perlu mengemukakan bukti pendaftaran umrah melalui aplikasi Nusuk.


HAJI MOHD AZRI BIN ABD RAZAK
Naib Presiden Haji & Umrah
Sesi 2021-2023