HARGA KOS MENUNAIKAN UMRAH DIJANGKA NAIK

KUALA LUMPUR, 1 NOVEMBER 2022 – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangkakan peningkatan kos bagi menunaikan umrah disebabkan kadar mata wang ringgit Malaysia yang semakin lemah.

Peningkatan kadar penukaran mata wang ini juga berpunca kepada kenaikan harga penginapan dan harga tiket penerbangan ke Arab Saudi. Hal ini mengakibatkan harga pakej umrah dijangka meningkat kepada 10% ke 30% oleh syarikat pengendali umrah.

Perbincangan bersama MOTAC antara MATTA dan persatuan-persatuan yang berkaitan  perlu diadakan segera bagi mendapat persetujuan untuk meletakkan harga lantai baharu supaya menjadi garis panduan kepada jemaah dan bagi memastikan pihak pengendali umrah tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga umrah ini.

“Permintaan yang luar biasa setiap tahun mengakibatkan penerbangan ke Arab Saudi tidak mencukupi, dan sebahagian pengendali umrah terpaksa mengatur semula jadual penerbangan jemaah bagi memenuhi setiap permintaan ini,” kata Naib Presiden Umrah dan Haji, Haji Mohd Azri bin Abd Razak.

Permasalahan ini masih berlarutan sehingga Disember 2022 dan kebanyakan jemaah sudah membuat perancangan untuk mengerjakan ibadah ketika cuti sekolah dan cuaca yang lebih sejuk di Arab Saudi.

Azri berkata walaupun MATTA telah mengadakan sesi libat urus bersama MOTAC dan MAS untuk menangani isu ini, tetapi perkara ini adalah di luar kawalan kami kerana pertumbuhan ekonomi pelancongan yg semakin rancak dalam menunaikan umrah.

MATTA berharap kepada bakal jemaah umrah untuk membuat persiapan lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan pada masa akan datang.

HAJI MOHD AZRI BIN ABD RAZAK
Naib Presiden Haji & Umrah
Sesi 2021 – 2023