Penjelasan Isu Penularan Lesen Khas Umrah Di Media Sosial

Kuala Lumpur, 29 September 2020 – Persatuan Ejen – Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) ingin membuat penjelasan mengenai isu senarai agensi – agensi yang telah diberikan Lesen Khas Umrah (LKU) yang telah tular di media sosial.

Adalah dimaklumkan bahawa Lesen Khas Umrah yang merupakan syarat khas bagi agensi pelancongan dan pengembaraan tempatan untuk mengendalikan umrah telah dimansuhkan berkuatkuasa 1 September 2020. Kenyataan yang telah tular di media sosial Whatsapp yang menyatakan bahawa hanya 25 agensi telah diberikan Lesen Khas Umrah (LKU) adalah tidak benar.

Siaran Akhbar yang turut dilaporkan oleh Berita Harian pada 28 September 2020 bertajuk ‘Pilih Agensi Umrah Berdaftar dengan MOTAC – MATTA’ yang merujuk kepada perenggan “Kami menasihatkan jemaah di negara ini berhati – hati kerana setakat ini, hanya 25 agensi yang diberikan Lesen Khas Umrah (LKU) oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) di bawah MOTAC” juga adalah tidak benar.

MATTA sangat menitikberatkan dan memandang serius terhadap sebarang penularan isu yang boleh menyebabkan keadaan panik dan kekeliruan kepada orang ramai. Oleh itu, MATTA meminta pihak akhbar Berita Harian agar membetulkan laporan yang telah dibuat mengikut maklumat yang tepat berkenaan isu ini.

Pada 18 September 2019, MATTA telah mengadakan satu persidangan media mengenai Lesen Khas Umrah (LKU) yang telah dimansuhkan dan digantikan dengan satu penambahan bidang oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di bawah Lesen Inbound, Outbound, Ticketing dan Umrah (IOTU).

Bagi senarai syarikat atau agensi yang memiliki Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan Luar Negeri Bagi Umrah Atau Ziarah, rujukan boleh dibuat di laman sesawang rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) www.motac.gov.my/semakan/umrah.

HAJI MOHD AZRI BIN ABD RAZAK
Naib Presiden Haji & Umrah
Sesi 2019 – 2021

For further information, contact:
MATTA Communications Department, communications@matta.org.my or 03-9222 1155.