MATTA GESA PIHAK BERWAJIB LEBIH PROAKTIF DALAM MENANGANI ISU HAJI

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2022: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memandang serius isu berkenaan penempahan pakej haji oleh sejumlah perserta jemaah haji yang tidak melalui Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berdaftar dengan Tabung Haji (TH) sehingga mengakibatkan 380 jemaah haji terkandas di KLIA baru-baru ini.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, perkara ini akan tetap terus berulang jika tiada tindakan tegas diambil oleh penguatkuasa yang bertanggungjawab di dalam pemantauan berkala secara berterusan.

Menurut Tan, ‘Akta Tabung Haji 1995, Seksyen 27  dan Seksyen 34, menegaskan bahawa hanya pihak TH sahaja yang diberi kelayakan untuk mengeluarkan lesen Haji yang sah kepada semua jemaah haji yang terlibat di mana ianya telah diluluskan oleh pihak Arab Saudi. Sekiranya ada agensi-agensi pelancongan atau individu menguruskan Jemaah haji tanpa lessen yang sah dan didapati bersalah, denda tidak kurang dari RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya akan dikenakan.’

MATTA juga turut menggesa pihak kerajaan merombak kembali Akta Tabung Haji 1995, bagi membenarkan atau membuka lebih kuota bagi agensi-agensi pelancongan lain yang berada di bawah naungan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk turut dibenarkan menguruskan jemaah haji. Selain itu, Lembaga Tabung Haji juga perlu meningkatkan penguatkuasaan dan penyelian berkala pakej haji selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 yang telah ditetapkan.

Malaysia merupakan satu-satunya negara di mana hanya sebuah agensi kerajaan sahaja dibenarkan untuk menguruskan jemaah haji. Giliran menunggu menunaikan haji melalui Lembaga Tabung Haji yang terlalu lama dan patut disemak semula.

Masyarakat khususnya perlu lebih teliti dan bijak di dalam membuat penilaian sewaktu memilih untuk menempah dan membeli pakej haji mahupun umrah bagi mengelak masalah di dalam sindiket penipuan oleh agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

Masyarakat juga harus diberi kesedaran untuk hanya membuat tempahan pakej haji dan umrah melalui PJH dan juga agen-agen pelancongan yang sah yang telah berdaftar sebagai ahli MATTA. Dengan ini, sekaligus memudahkan pihak MATTA untuk mengawal selia ahli-ahli di bawah MATTA di dalam memberikan bantuan menyeluruh sekiranya terdapat perkara yang tidak diingini berlaku.

‘Sebagai persatuan pelancongan kebangsaan, MATTA akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membendung kes-kes penipuan haji. Malah MATTA akan turut menyenaraikan ahli-ahli MATTA dan ejen-ejen perlancongan yang sah berdaftar dengan PJH bagi memudahkan masyarakat untuk membuat rujukan di dalam menempah pakej haji dimasa akan datang,’ tambah Tan lagi.

DATUK TAN KOK LIANG PGDK, M.A Tourism, CA (M), FCTIM, CHA
Presiden MATTA
Penggal 2021-2023