MATTA SARAN QUARTET SEGERA LULUS SOP

Kuala Lumpur, 31 Januari 2022 – Persatuan Ejen – Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyarankan Quartet segera meluluskan Standard Operasi Prosedur (SOP) dan kuarantin di rumah berikutan kebenaran untuk membenarkan semula aktiviti perjalanan Umrah yang berkuat kuasa pada 8 Februari 2022.

Pihak MATTA berharap agar kerajaan tidak melengahkan masa bagi memaklumkan SOP aktiviti umrah memandangkan ianya telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Pihak MATTA menekankan bagi melancarkan proses urusan umrah yang akan dibuka pada 8hb Februari 2022, kerajaan perlu memaklumkan dengan kadar yang segera memandangkan tempoh pembukaan adalah dalam masa seminggu dari kini.

Pihak MATTA juga menyarankan bagi jemaah yang sudah lengkap divaksinasi hanya perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah dan bagi jemaah yang telah mendapatkan dos penggalak tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya keputusan ujian PCR negative. Bagi jemaah yang didapati positive hendaklah di kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Naib Presiden Umrah & Haji MATTA, Mohd Azri Abd Razak berkata negara Saudi juga tidak memerlukan jemaah dari Malaysia untuk menjalani kuarantin jika sudah lengkap divaksinasi. Haji Azri juga mengambil contoh dari Projek Rintis Pulau Langkawi dimana pelancong dari luar negara tidak wajib kuaratin jika sudah lengkap di vaksinasi dan keputusan ujian PCR negative.

Pihak MATTA berpendapat bahawa memandangkan kesan sampingan Omicron adalah lebih lemah tehadap jemaah yang telah mengambil dos penggalak, jemaah Umrah haruslah dibenarkan melakukan ibadah Umrah. Pihak MATTA menggesa agar pembukaan sempadan dilangsungkan dengan sepenuhnya memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia telah mengambil dos penggalak. Jika dibandingkan dengan negara luar, Malaysia merupakan salah satu negara terakhir yang ketinggalan dalam membuka sempadannya. Perkara ini perlulah diambil perhatian demi menyelamatkan ekonomi negara dan agensi pelancongan terutamanya Bumiputera yang terlibat dalam pengurusan Umrah.

Pihak MATTA berharap Kerajaan dapat mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan kadar segera kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak agensi pelancongan disebabkan oleh penangguhan aktiviti Umrah sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, Haji Azri juga mendoakan demi kesejahteraan rakyat dan jemaah amnya agar industri Umrah akan terus memberi sinar kepada penggiat industri supaya kelangsungan industri akan terus berkembang dibawah keluarga Malaysia.

 

HAJI MOHD AZRI BIN ABD RAZAK
Naib Presiden Haji & Umrah

Sesi 2021 – 2023