MUSTAHIL JEMAAH UMRAH BOLEH BERLEPAS TANPA DIVAKSIN – MATTA

Kuala Lumpur, 8 Januari 2022 – Persatuan Ejen – Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyangkal kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, YB Tuan Khairy Jamaluddin berkenaan jemaah yang tidak lengkap divaksin dijangkiti Omicron setelah pulang dari mengerjakan ibadah umrah.

Naib Presiden Umrah & Haji MATTA, Mohd Azri Abd Razak berkata perkara ini dianggap mustahil kerana pengendali syarikat Umrah telah mematuhi syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi perjalanan umrah yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Saudi, seperti;

1. Jemaah perlu menunjukkan bukti status ‘Lengkap Vaksinasi’ dan menyatakan jenis vaksin yang diambil semasa membuat tempahan tiket penerbangan didalam borang APIS DATA.
2. Jemaah perlu mengemaskini maklumat vaksin  di portal dalam talian MUQEEM bagi permohonan visa dan perlu dilampirkan di kaunter Check-in sebelum berlepas.
3. Jemaah perlu mengemaskini status vaksin  72 jam sebelum berlepas di website MUQEEM.
4. Jemaah perlu menunjukkan Sijil Vaksin Digital di kaunter Check-in sebelum berlepas.
5. Sijil MUQEEM juga perlu ditunjukkan ketika pemeriksaan imigresen Saudi Arabia sewaktu ketibaan jemaah di lapangan terbang Jeddah atau Madinah.
6. Kerajaan Saudi hanya membenarkan perjalanan bagi jemaah yang telah lengkap divaksinasi dari jenis vaksin yang diiktiraf Kerajaan Saudi seperti Pfizer dan AstraZeneca. Manakala vaksin jenis Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak.
7. Pemeriksaan ketat oleh pegawai di kaunter Check-in dimana jemaah perlu menunjukkuan sijil digital vaksin, visa, pengesahan pendaftaran MUQEEM dan keputusan ujian PCR negatif sebelum berlepas.

Pihak MATTA meminta pihak Kementerian menyiasat perkara ini dan tidak menuding jari kepada syarikat pengendali umrah. Kenyataan Menteri Kesihatan itu mempunyai implikasi yang serius terhadap sistem visa Kerajaan Saudi sekaligus memburukkan pandangan masyarakat terhadap penggiat industri umrah di Malaysia.

Kaunter imigresen dan kawalan keselamatan di lapangan terbang  merupakan tempat semakan terakhir status vaksinasi bagi setiap pelancong atau jemaah ke luar negara. Jadi, mana-mana pihak yang terlibat harus dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dimana rakyat Malaysia diwajibkan lengkap vaksinasi sekiranya ingin membuat perjalanan di dalam dan luar negara.

Sementara itu, berkenaan isu penangguhan umrah sementara yang diumumkan oleh YB Khairy Jamaluddin selama satu bulan bermula 8 Jan - 8 Feb 2022 dan lanjutan penilaian risiko, Hj Azri berkata kerajaan perlu mempertimbangkan semula langkah tersebut kerana ia memberi kesan negatif kepada agensi pelancongan dan jemaah sendiri. Pakej umrah yang terkini perlu dikaji semula kerana akan ada kos tambahan yang perlu ditanggung oleh agensi pelancongan mahupun jemaah pada masa akan datang.

Sehubungan dengan itu, MATTA menyarankan agar Menteri Kesihatan mempertimbangkan semula pelaksanaan penangguhan umrah.

“Kerajaan harus bertanggungjawab atas kerugian yang bakal ditanggung oleh jemaah yang sedang menunggu giliran untuk menunaikan umrah” katanya.

Pihak MATTA bersedia untuk berjumpa dengan pihak Kementerian Kesihatan atau pihak berwajib untuk sama-sama berbincang dan mencari jalan terbaik agar dapat mengurangkan penularan varian Omicron dan pada masa yang sama memastikan punca pendapatan agensi pelancongan tidak terkesan.

Kami juga sedia bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab dan penggiat industri untuk memperincikan SOP yang lebih ketat demi keselamatan rakyat Malaysia bagi menjamin perjalanan yang lebih selamat dan lancar dalam mengerjakan ibadah umrah.

HAJI MOHD AZRI BIN ABD RAZAK
Naib Presiden Haji & Umrah
Sesi 2021 – 2023