MATTA: Tahap Pengendalian Pakej Umrah Akan Lebih Selaras Dengan 'Lesen Khas Umrah'

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggalakkan agensi pelancongan yang berminat dalam pengendalian pakej umrah untuk memohon ‘Lesen Khas Umrah’ bagi menyelaraskan tahap pengendalian pakej umrah di Malaysia.

‘Lesen Khas Umrah’ telah diwajibkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sejak 1 Oktober 2017 bertujuan untuk memantau dan mengelak kes penipuan umrah berulang pada masa akan datang.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA, Encik Shahrulnezam Mohd Daud, berkata, ‘Lesen Khas Umrah’ yang dikeluarkan secara berperingkat kepada lebih 100 agensi pelancongan berlesen akan mampu memperkemaskan industri umrah dan haji di Malaysia dan menutup ruang operasi syarikat tanpa lesen daripada berlarutan.

“Pengenalan ‘Lesen Khas Umrah’ ini akan membolehkan pihak berkuasa untuk memantau secara komprehensif agensi pelancongan yang terlibat bagi membanteras kes penipuan pakej umrah disamping memperkemaskan lagi mutu perkhidmatan pakej umrah negara” tambahnya lagi.

Berdasarkan rekod, kompaun sebanyak RM5.1 juta atas pelbagai kesalahan yang melibatkan pakej Umrah telah direkodkan sejak tahun 2012 hingga Ogos 2017.

Masyarakat dinasihatkan supaya meneliti dan mendapatkan perkhidmatan agensi pelancongan yang berdaftar sahaja, khususnya untuk pakej mengerjakan umrah dan haji dalam usaha membenteras penjualan pakej umrah dan haji palsu.

MATTA bersikap positif isu penipuan pakej umrah dapat dibenteras dengan wujudnya ‘Lesen Khas Umrah’ disamping menyelaraskan tahap pengendalian pakej umrah negara.

MATTA bersama-sama pihak Kementerian Pelancongan memandang serius terhadap tawaran dan pakej pelancongan khususnya yang melibatkan kes penipuan dan penjualan pakej umrah palsu.

 

SHAHRULNEZAM MOHD DAUD
Naib Presiden Umrah & Haji, MATTA
Sesi 2017 – 2019