MATTA Negeri Sarawak terpaksa lupakan hasrat anjur MATTA Fair Sarawak 2020

KUCHING: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Negeri Sarawak terpaksa melupakan hasrat untuk menganjurkan MATTA Fair Sarawak 2020 berikutan pandemik COVID-19.

Pengerusi MATTA Sarawak Lina Tsen ketika dihubungi kelmarin berkata MATTA Fair Sarawak 2020 yang pada mulanya dijadual diadakan dari 17 hingga 19 April kemungkinan besar hanya akan diadakan tahun depan.

"Kami masih berbincang kemungkinan besar Sarawak MATTA Fair tahun ini diadakan pada 2021.

"Bagaimanapun tarikh sebenar bila ia akan diadakan belum ditentukan lagi. Yang penting kita kekal sihat dan selamat sekarang," ujarnya.

Tsen berkata kira-kira 70 reruai atau pempamer terdiri daripada ejen-ejen pelancongan dan pengembaraan tempatan serta antarabangsa telah mengesahkan penyertaan mereka. 

"Bagaimanapun kita akan membayar balik semua ejen dengan mengambil kira kekangan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita juga berharap semua orang mematuhi PKP supaya wabak ini berjaya dibendung daripada terus menular dan
kita dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti kita seperti sebelum ini sudah pastinya dengan kebiasaan baharu," katanya.

MATTA Fair Sarawak merupakan acara tahunan dan setiap kali penganjurannya ia berjaya mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini khasnya.

MATTA bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan dan Kesenian serta Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (MTPB) menganjur pameran, seminar, konvensyen dan bengkel untuk kepentingan ahli-ahlinya.