Guna agensi pelancongan, pengembaraan dengan rekod baik elak tertipu: Abd Karim

SIBU: Orang ramai yang merancang untuk melancong dinasihati agar mendapatkan khidmat pelancongan dan pengembaraan yang terbukti mempunyai rekod baik.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini penting agar mereka tidak menjadi mangsa agensi tidak bertanggungjawab yang menjerat orang ramai dengan menawarkan pakej pelancongan murah.

"Adalah lebih selamat berurusan dengan agensi pelancongan dan pengembaraan yang mempunyai rekod baik dalam menguruskan pakej pelancongan ini, meskipun kos mungkin lebih mahal berbanding menggunakan agensi yang tidak diketahui rekod mereka", ujarnya.

Abdul Karim berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) agar orang ramai lebih berhati-hati dengan pakej pelancongan murah yang ditawarkan, lebih-lebih lagi dalam talian atau media sosial.