Fokus agro, arkeologi

Sektor agro dan arkeologi akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha lebih komprehensif memasarkan produk pelancongan di Perak. Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya bersama Tourism Perak mempertimbang strategi dalam memanfaatkan dua sektor berkenaan.

“Bagi menarik lebih ramai pengunjung, kita perlu melihat di luar tarikan pelancongan umum dan mengetengahkan tarikan lain. Perak mempunyai Taman Negeri Royal Belum dan Lembah Lenggong yang disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO. “Pengiktirafan badan dunia itu perlu dimanfaatkan dengan memikirkan semula bagaimana untuk mempromosikan khazanah negara itu dengan menumpukan kepada pasaran domestik dan luar negara,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini, kelmarin.

Menurutnya, untuk mencapai matlamat itu, pakej pelancongan yang ditawarkan sebelum ini perludilihat semula. Sebagai contoh mewujudkan pameran kebudayaan di Lembah Lenggong untuk menambah tarikannya dalam kalangan pelawat tempatan dan asing.