MATTA Jangka Kos Umrah Naik Hingga 30 Peratus

MATTA jangka kos umrah naik hingga 30 peratus Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangka kos bagi menunaikan umrah akan meningkat di antara 10 hingga 30 peratus, berikutan kadar mata wang ringgit yang semakin lemah.

Naib Presiden Haji dan Umrah, Mohd Azri Abd Razak, berkata berikutan itu pihaknya mahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), MATTA dan persatuan berkaitan berbincang segera, bagi meletakkan harga lantai baharu sebagai garis panduan kepada jemaah.

Tindakan itu juga, katanya, dapat mengelakkan pengendali umrah untuk tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga pakej berkenaan. “

Peningkatan kadar penukaran mata wang menjadi punca kepada kenaikan harga penginapan dan harga tiket penerbangan ke Arab Saudi. Hal ini mengakibatkan harga pakej umrah dijangka meningkat kepada 10 hingga 30 peratus oleh syarikat pengendali umrah.

“Permintaan yang luar biasa setiap tahun mengakibatkan penerbangan ke Arab Saudi tidak mencukupi dengan sebahagian pengendali umrah terpaksa mengatur semula jadual penerbangan jemaah, bagi memenuhi setiap permintaan ini.

“Masalah ini berlarutan sehingga Disember ini dan kebanyakan jemaah sudah pun membuat perancangan untuk mengerjakan ibadah ketika cuti sekolah dan cuaca yang lebih sejuk di Arab Saudi,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Mohd Azri berkata, walaupun MATTA sudah mengadakan sesi libat urus bersama MOTAC dan syarikat penerbangan MAS bagi menangani isu berkenaan, perkara itu di luar kawalan pihak terbabit kerana pertumbuhan ekonomi pelancongan yang semakin rancak dalam menunaikan umrah.