KOTA KINABALU: Pelan tindakan pemuliharaan hidupan liar Lower Kinabatangan bakal disediakan untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai destinasi eko pelancongan mampan serta koridor makanan kepada haiwan dalam habitatnya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, perkara itu dibangkitkan dalam satu perjumpaan bersama pengawai Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) baru-baru ini.
Katanya, pelan tindakan itu mempunyai jangka masa lebih lama berbanding Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 (10 tahun) yang diluluskan kerajaan negeri pada bulan Februari lalu.
"Ianya akan dijadikan kawasan pemuliharaan kepada haiwan seperti orang utan, monyet belanda dan spesies haiwan yang lain," katanya.
Christina yang juga Menteri KePKAS berkata, beliau mahu cadangan koridor makanan hidupan liar dalam pusat pemuliharaan hidupan liar Kinabatangan (keluasan 27,000 hektar hutan) boleh menjadi realiti dalam masa terdekat.
"Kini tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas, kita harus mula menanam makanan untuk hidupan liar, ianya tidak boleh ditunda lagi.
"Pusat Santuari Hidupan Liar Kinabatangan mempunyai aset semula jadi dan menjadi destinasi terbaik eko pelancongan yang perlu dilindungi serta dipulihara untuk komuniti tempatan dan pengusaha pelancongan.
"Perkara yang lebih penting adalah mengurangkan konflik di antara manusia dan gajah.
"Dengan adanya koridor makanan hidupan liar, sudah pasti ia mampu mengelakkan gajah-gajah untuk memasuki kawasan perladangan dan merosakan hasil tanaman," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Christina mahu peranan NGO dalam usaha pemuliharaan berkenaan. Badan seperti KiTA dan WWF-Malaysia perlu disertakan dalam pelan tindakan berkenaan.
Christina mahu penyertaan aktif dari kalangan NGO dalam usaha mewujudkan kepelbagaian makanan pada koridor berkenaan agar boleh dimanfaatkan oleh haiwan-haiwan seperti gajah, orang utan dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Tetap KePKAS Dr Jamili Nais memberikan jaminan bahawa draf untuk pelan tindakan itu akan disiapkan menjelang awal September depan. Segala input akan disediakan oleh Pengarah JHL Augustine Tuuga.
Pada 2005, kawasan Lower Kinabatangan telah digazetkan sebagai santuari hidupan liar di bawah Seksyen 9 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Dalam lawatan Christina ke kawasan Lower Kinabatangan pada Jun tahun lalu, beliau menyifatkan Santuari Hidupan Liar Kinabatangan adalah kawasan terbaik untuk melihat haiwan-haiwan seperti gajah pygmy borneo, orang-utan, monyet belanda, buaya dan burung kenyalang iaitu 'rhinoceros hornbill'.
"Saya difahamkan negara seperti United Kingdom dan Australia serta beberapa negara lain sering datang melawat ke kawasan ini. Mereka sanggup mengembara ribuan kilometer hanya untuk menyaksikan hidupan liar di kawasan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Datuk Tan Kok Liang dan Presiden Persatuan Operator Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) Alexander Yee yang turut hadir dalam perjumpaan itu mengutarakan bantahan terhadap pembinaan cadangan jambatan kedua Sukau kerana ianya akan memberikan kesan negatif kepada hidupan liar.
"Keadaan ini secara langsung akan memusnahkan sektor eko pelancongan di Sabah, jambatan berkenaan akan menghadkan pergerakan gajah dan habitat orang utan juga akan musnah.
"Sekiranya perkara ini terjadi, tidak ada pelancong lagi akan datang ke Sabah untuk melibat santuari ini," kata kedua-dua mereka.
Yee menjelaskan pendapatan untuk destinasi pelancongan di Kinabatangan mencapai lebih RM100 juta setahun sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yee berkata pihaknya akan memberikan kelengkapan unit peralatan kesihatan kepada pasukan barisan hadapan yang tinggal di Lower Kinabatangan sebagai satu usaha meningkatkan lagi pelancongan domestik.
Source: https://www.utusanborneo.com.my/2020/07/17/lower-kinabatangan-akan-jadi-destinasi-eko-pelancongan