Hukuman Maksima Bagi Penipuan Pakej Umrah - MATTA

KUALA LUMPUR, 29 Disember 2016: Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Datuk Hj Hamzah Rahmat amat kecewa dengan satu lagi laporan mengenai penipuan pakej Umrah.  

Hamzah berkata, “Pakej umrah yang lebih murah dari harga minima pasaran iaitu RM4,900 untuk pakej asas adalah tidak wujud sama sekali. Bakal jemaah hanya akan menyedari bahawa mereka telah tertipu setelah bayaran dibuat.

“Sebagai contoh, pembeli yang ditawarkan untuk membayar dengan hanya RM3,000 beranggapan bahawa mereka menikmati penjimatan sebanyak RM1,900, tetapi tanpa menyedari bahawa mereka akan kerugian sebanyak RM3,000. Jika ada pihak yang ingin menyediakan sumbangan atau bersedekah untuk pakej Umrah, sila ke depan dan berhubung dengan MATTA, supaya bakal jemaah yang terlibat akan dapat menikmati manfaat tersebut dengan yakin”

“Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata bahawa kesemua 4,800 jemaah Umrah tersebut terkontang – kanting akibat daripada penipuan tersebut. Saya berharap agar orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berhati-hati dengan pakej pelancongan murah, khususnya Umrah.”

Hamzah sekali lagi menegaskan orang ramai agar berurusan dan hanya membeli dari ejen pelancongan yang berlesen dan berdaftar dibawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan bukan dengan syarikat atau individu yang tidak bertauliah.

“Sekiranya terdapat bukti yang menyabitkan kesalahan, pelaku mesti diberikan hukuman maksima sebagai tauladan dan bagi membanteras segala kegiatan yang mengambil kesempatan terhadap orang ramai terutama bakal jemaah”, kata Hamzah mengakhiri perbualan.

 

DATUK HJ HAMZAH RAHMAT DPSM KMN
Presiden
MATTA
Penggal 2015- 2017