Jangan Terpengaruh Pakej Umrah Murah

SHAH ALAM – Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa orang ramai tidak terpengaruh dengan pakej umrah murah yang ditawarkan serendah RM4,900.

Presidennya, Datuk Hamzah Rahmat berkata, pakej asas dengan harga sedemikian tidak wujud sama sekali.

“Bakal jemaah hanya akan menyedari bahawa mereka telah tertipu setelah bayaran dibuat. Sebagai contoh, pembeli yang ditawarkan untuk membayar dengan hanya RM3,000 beranggapan bahawa mereka menikmati penjimatan sebanyak RM1,900.

“Tetapi tanpa menyedari bahawa mereka akan kerugian sebanyak RM3,000. Jika ada pihak yang ingin menyediakan sumbangan atau bersedekah untuk pakej umrah, sila ke depan dan berhubung dengan Matta, supaya bakal jemaah yang terlibat akan dapat menikmati manfaat tersebut dengan yakin,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Matta amat kecewa dengan pelbagai laporan mengenai penipuan pakej umrah.

“Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata bahawa kesemua 4,800 jemaah umrah terkontang–kanting akibat daripada penipuan tersebut. Saya berharap agar orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berhati-hati dengan pakej pelancongan murah, khususnya umrah,” katanya.

Hamzah turut menyarankan orang ramai agar berurusan dan hanya membeli pakej umrah daripada ejen pelancongan yang berlesen dan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

“Jangan berurusan dengan syarikat atau individu yang tidak bertauliah. Sekiranya terdapat bukti yang menyabitkan kesalahan, pelaku mesti diberikan hukuman maksima sebagai teladan.

“Ini juga bagi membanteras segala kegiatan yang mengambil kesempatan terhadap orang ramai terutama bakal jemaah”, katanya.