MATTA gesa kerajaan beri bantuan kewangan

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan supaya membantu syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd, dari segi sokongan kewangan bagi memastikannya bersedia untuk beroperasi pasca COVID-19.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata industri penerbangan adalah teras kepada keseluruhan ekosistem pelancongan dan perhubungan udara adalah penting kepada pemulihan ekonomi dan pelancongan negara.

Katanya, banyak negara seluruh dunia dijangka akan menyelamatkan syarikat penerbangan nasional mereka antaranya, Kerajaan Singapura menyediakan dana sehingga S$19 bilion (RM58.4 bilion) bagi menyokong Singapore Airlines (SIA) untuk menempuhi krisis coronavirus.

“Hong Kong pula menyediakan pakej bantuan HK$2 bilion (RM1.13 bilion) untuk meringankan tekanan mudah tunai syarikat penerbangan dan pengendali perkhidmatan sokongan penerbangan.

“Di samping itu, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) juga secara dasar mencapai kesepakatan dengan syarikat penerbangan utama negara itu mengenai syarat menyelamat berjumlah AS$25 bilion (RM109.3 bilion).

“Sementara itu, Suruhanjaya Eropah sudah meluluskan skim jaminan pinjaman sekitar 455 juta euro (RM2.162 bilion) kepada Sweden, untuk membantu industri penerbangan ketika ia bergelut untuk mengatasi kejatuhan ekonomi susulan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas cadangan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai kemungkinan penggabungan di antara Malaysia Airlines dan AirAsia Group.

“Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga meningkatkan seruannya mendesak tindakan daripada kerajaan di seluruh dunia untuk memberikan bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan,”
kata Kok Liang.

Katanya, COVID-19 dianggarkan akan menyebabkan kerugian kepada syarikat penerbangan global berjumlah AS$314 bilion (RM1.36 trilion), 25 peratus lebih tinggi daripada ramalan sebelumnya.

“Tanpa syarikat penerbangan untuk membawa masuk berjutajuta pelancong masuk dan keluar dari Malaysia, tidak akan ada industri pelancongan yang berdaya maju.

“Mereka adalah yang pertama dalam rangkaian rantaian bekalan yang panjang dalam industri pelancongan yang merangkumi lapangan terbang, pengangkutan jalan raya dan kereta api, penginapan, makanan dan minuman, hiburan dan membeli-belah serta perniagaan, pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Tambahnya, lapangan terbang di Malaysia merekodkan kejatuhan 27.6 peratus penumpang dengan kemasukan 18.4 juta penumpang.

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing masing menurun sebanyak 32.4 peratus dan 22.4 peratus.

“Pergerakan pesawat pula menurun 11.9 peratus pada suku pertama 2020 berbanding suku pertama 2019. Pergerakan antarabangsa dan domestik pula masing-masing menurun sebanyak 17.5 peratus dan 8.2 peratus berbanding suku pertama 2019.

“Namun, suku kedua 2020 akan menjadi lebih buruk kerana lebih banyak negara telah menutup sempadan mereka dan kebanyakan syarikat penerbangan telah menghentikan operasi. Peratusan penurunan akan mencapai tahap 90-an yang tinggi.

“Suku ketiga 2020 juga tidak akan menjadi lebih baik. Sekiranya ada harapan pulih, mungkin kita dapat mulai melihat pada suku keempat ini,” katanya.