3,000 kes tipu umrah murah

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kelantan mendedahkan imam dan bilal antara dikesan menjadi orang tengah dalam kes penipuan umrah di negeri ini.

Pengerusinya, Ahmad Farouk Zawawi berkata, golongan tersebut dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdayakan orang ramai bagi menyertai pakej murah ditawarkan mereka.

Ahmad Farouk berkata, tahun lalu sebanyak 3,000 kes penipuan umrah direkodkan dan kebanyakan mangsa ditawarkan pakej umrah dengan bayaran serendah RM3,500.

“Mereka juga menggunakan modus operandi dengan mengatakan bayaran selebihnya dibayar kerajaan Arab
Saudi sebagai zakat bagi membantu individu kurang berkemampuan.

“Imam dan bilal ini digunakan kerana orang kampung akan mempercayai mereka yang sudah pastinya orang ramai akan terpedaya lebih-lebih lagi ditawarkan dengan harga tidak masuk akal,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri Ekspo Pelancongan 2018 anjuran Persatuan EjenEjen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Negeri Kelantan di sini.

Ahmad Farouk juga memberitahu, iman dan bilal ini juga dipancing dengan membawa mereka terlebih dahulu mengerjakan umrah menerusi pakej murah dan dalam masa sama memujuk supaya mempromosikannya kepada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan imam dan bilal

berhati-hati jika diberikan tawaran pakej umrah mahupun melancong dengan harga yang murah untuk dipromosikan. 

Sebaiknya, Ahmad Farouk berkata, masyarakat perlu terus mendapatkan khidmat pelancongan bersama agensi berdaftar yang lebih terjamin dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.

“Jika tertipu bukan sahaja malu yang dapat, bahkan duit juga tak akan dikembalikan.

"Jadi janganlah terpedaya dengan janji tawaran murah, lebih baik rujuk dulu kepada ejen berdaftar,” katanya.