Kerjasama MATTA, penyedia e-hailing beri lebih pilihan pengangkutan

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meningkatkan lagi perkhidmatan sektor itu dengan memberikan pilihan pengangkutan baharu kepada pelancong.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, berkata kerjasama yang dijalankan pihaknya bersama dengan penyedia e-hailing dijangka memberikan lebih pilihan kepada pelancong dan ahli MATTA.

“Kerjasama dengan syarikat e-hailing ini sebahagian daripada usaha untuk memanfaatkan platform e-hailing untuk membolehkan ahli MATTA yang menjadi pengendali pengangkutan untuk menyenaraikan dan memaksimumkan mereka dalam memperkasa dan memperluas lagi perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk pengangkutan.

“Ia juga membuktikan MATTA turut kehadapan dalam menyediakan inisiatif inovasi dan teknologi. MATTA percaya kerjasama ini juga akan menggalakkan lebih banyak operator pengangkutan menjadi lebih inovasi,” katanya selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan empat pengendali e-hailing di sini, hari ini.

Empat pengendali e-hailing yang menjalin kerjasama itu adalah Dacsee Sdn Bhd, Ideal Technology Advancement Sdn Bhd, MULA Car International Sdn Bhd dan Neo Urban Consolidated Sdn Bhd.

Kok Liang berkata, selepas ini pelancong akan mempunyai lebih pilihan pengangkutan dan boleh memilih pengendali e-hailing pilihan mereka.

Beliau berkata, ia akan menjimatkan masa pengendali pengangkutan, tanpa perlu menunggu lama serta memberikan lebih masa kepada pelancong melawat lokasi pelancongan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai levi pelepasan yang akan dilaksanakan kerajaan September ini, Kok Liang berkata, MATTA menggesa kerajaan mengkaji perkara itu terlebih dulu.

“Perlu mengkaji perkara itu dengan teliti sebelum melaksanakannya. Ini kerana banyak perkara yang masih belum jelas dan MATTA harap kajian lengkap dijalankan.

“Susunan yang betul dan mekanismenya perlu ada. Ramai yang bertanya kutipan levi itu akan disalurkan untuk kegunaan sektor pelancongan atau bagaimana,” katanya.

 

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/07/584220/kerjasama-matta-penyedia-e-hailing-beri-lebih-pilihan-pengangkutan