Koronavirus: Pakej rangsangan ekonomi bagi bantu sektor pelancongan

GEORGE TOWN, 8 Feb -- Kementerian Kewangan akan mengadakan pertemuan dengan semua pemain industri pelancongan Isnin ini bagi mendapatkan input bagi perancangan pakej rangsangan ekonomi susulan impak penularan novel koronavirus (2019-nCoV).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pertemuan itu akan membincangkan mengenai sektor pelancongan sekiranya penularan jangkitan 2019-nCoV berlarutan dalam tempoh masa yang panjang.

"Kita akan bawa ke depan pakej rangsangan ekonomi ini. Saya akan bertemu dengan semua yang terbabit dengan sektor pelancongan dan kita akan adakan proses perbincangan.

"Kita harap selepas dibentang di Kabinet (pakej rangsangan ekonomi), ini dapat diumumkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan kunci bangunan sekolah baharu kepada Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Pulau Pulau Pinang, di Sungai Ara, Bayan Lepas, dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada pakej rangsangan ekonomi itu hanya akan melibatkan sektor tertentu, Lim meminta semua pihak bersabar dan menunggu pengumuman mengenainya.

Sebelum ini, Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi lebih besar bagi membantu sektor-sektor  menghadapi kesan penularan koronavirus.

Pada 2003, kerajaan melaksanakan pakej ekonomi bernilai RM8.1 bilion untuk membantu mengurangkan kesan berikutan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) manakala pada 2009 pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan bagi mengharungi kelembapan ekonomi global.

Sementara itu, Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, menyelar tindakan beberapa akhbar yang didakwa menyiarkan laporan tidak tepat berhubung isu penubuhan pakatan baharu politik yang digelar 'Pakatan Nasional'.

”Kami menghormati kebebasan media tetapi janganlah gunakan kebebasan itu untuk melaporkan perkara yang tidak benar. Kita harus tumpu kepada isu-isu semasa yang memerlukan perhatian dan tindakan seperti cabaran ekonomi dan virus koronavirus pada ketika ini,” katanya.

-- BERNAMA

Source: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1812471