Kerajaan sasar ketibaan pelancong dari China dan India meningkat

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong dari China dan India ke negara ini masing-masing sebanyak empat juta dan sejuta orang tahun ini, kata Menteri Pelancongan,  Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menurutnya, sasaran itu dijangka dapat dicapai menerusi langkah pengecualian visa 15 hari kepada pelancong dari kedua-dua negara berkenaan yang dilaksanakan selama setahun bermula awal tahun ini.

“Saya yakin pelaksanaan ini dapat menyasarkan lebih ramai pelancong masuk dan dapat jana lebih banyak revenue (pendapatan) sekali gus mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 30 juta tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelekat kenderaan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan  Pengembaraan Malaysia (MATTA) Visit Malaysia 2020 di sini semalam.

Mohamaddin berkata pihaknya turut menjalankan program jerayawara bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 bertujuan menarik kehadiran pelancong sekurang-kurangnya dari empat buah negara yang bakal dilawati bermula dengan India pada 8 Januari ini.

Beliau juga menepis dakwaan kononnya pelaksanaan pengecualian visa ke atas pelancong dari kedua-dua negara itu akan menyumbang kepada faktor pelancong tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan di negara ini.

Kerajaan melalui warta kerajaan bertarikh 26 Disember memberi pengecualian visa dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan bagi pelancong dari China dan India mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai bayangan rombakan kabinet yang dijangka dilakukan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohamaddin berkata beliau tidak risau dengan spekulasi berkenaan.

“Saya tidak risau, kenapa saya perlu risau ? Kalau you (anda) nak saya buat kerja saya buat kerja, kalau tak nak, bila-bila masa..., kenapa perlu saya risau, yang itu (rombakan kabinet) saya tidak tahu, itu kena tanya Perdana Menteri sama ada reshuffle (rombakan) ada atau tidak ada,” kata beliau. — Bernama

 

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2020/01/04/kerajaan-sasar-ketibaan-pelancong-dari-china-dan-india-meningkat