Tangguh pameran MATTA

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menangguhkan semua Pameran MATTA yang dijadualkan di Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain sehingga situasi kembali normal.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, berkata langkah itu diambil kerana ia menjadi tanggungjawab moral dan sosial persatuan itu untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Ini termasuk ‘Cuti-Cuti Malaysia By MATTA Fair’ yang tidak akan diadakan pada4hingga 5 April 2020 dan Pameran MATTA Kuala Lumpur tidak akan diadakan pada 1 hingga 3 Mei 2020. “

Perlu diingatkan juga, Pameran Perjalanan Malaysia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Mac 2020 dianjurkan oleh persatuan lain yang berdaftar sebagai Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia atau MATA. Ia tiada kaitan dengan MATTA,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata ‘perang’ ke atas penularan COVID-19 memerlukan pelaksanaan perintah berkurung di seluruh negara seperti yang dilakukan kebanyakan negara Eropah dan dijangka diikuti lebih banyak negara lain.

Katanya, penularan global virus itu telah mencapai skala di mana negara perlu mengambil langkah berani dan drastik.

“Tindak balas awal kita untuk membendung penularan ini adalah berjaya, namun kini tidak lagi. Justeru, langkah lebih berkesan diperlukan dan kita boleh melaksanakan langkah sama di luar negara, memandangkan COVID-19 kini merebak ke lebih 155 negara seluruh dunia.

“Perintah berkurung akan memberikan notis mencukupi dan ia bukan untuk 24 jam, yang akan menyebabkan pembelian panik. Mekanisme juga perlu disediakan untuk mengelakkan kesukaran kepada rakyat, selain pelancong yang masih ada di negara ini,” katanya.

Kok Liang berkata, bagi sektor pelancongan, adalah lebih baik untuk menekan butang set semula dengan meletakkan kebersihan dan keselamatan sebagai keutamaan bagi mengembalikan keyakinan pelancong.

“Apabila negara kita bersedia, Malaysia akan diiktiraf sebagai salah satu destinasi paling selamat untuk dikunjungi dan rakyat juga akan mengalualukan pelancong dari pelbagai negara apabila situasi kembali normal.

“Bagi negara yang proaktif menangani krisis ini, pelancongan akan kembali meningkat sepantas ia merosot, manakala negara yang mengambil tindakan tidak bersungguh-sungguhakan sukar untuk pulih,” katanya.