Kuarantin elak risiko gelombang ketiga

Kuala Lumpur: Rakyat negara ini yang pulang dari luar negara, berupaya mencetuskan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 mulai pertengahan bulan ini, jika tidak kepulangan mereka ditangani sebaiknya.

Menyedari kemungkinan itu,Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan menasihati kerajaan menempatkan semua individu yang pulang dari luar negara, sama ada menerusi pintu masuk darat, laut atau air, di pusat kuarantin.

Katanya, kementerian turut menjangkakan kepulangan lebih ramai rakyat Malaysia dari luar negara, khususnya dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus mengundang risiko kes import COVID-19.

“Gelombang pertama COVID-19 di Malaysia adalah menerusi pelancong dari China, manakala gelombang kedua ialah kes diimport, justeru sekarang ini kita ambil pendirian untuk saring siapa sahaja yang masuk.

“Kalau ikutkan maklumat yang sedia ada, termasuk menerusi Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair), jumlah kemasukan mungkin sekitar 8,000 orang (rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara).

“Bagaimanapun, kita jangkakan perangkaan sebenar adalah lebih daripada itu kerana ia kini turut membabitkan penuntut IPT dari seluruh dunia yang ingin balik ke Malaysia.

“Jadi, kita kena kawal risiko kes import ini bagi mengelak ramalan peningkatan kes menjelang pertengahan bulan ini tidak menjadi kenyataan,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, semalam.

Mengemukakan mekanisme kuarantin, Dr Noor Hisham berkata, pengasingan di setiap unit, dekat pusat kemudahan berkaitan akan dibuat berteraskan kohort atau kumpulan kecil.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan kerana setiap kumpulan kecil mempunyai corak pendedahan risiko jangkitan COVID-19 yang sama.

“Contohnya, kita tidak akan asingkan satu keluarga yang mempunyai tiga orang, sebaliknya mereka ditempatkan dalam sebuah bilik kerana masing-masing mempunyai corak pendedahan risiko jangkitan sama.

“Ingin ditekankan bahawa mereka tidak boleh bergaul bebas meskipun ditempatkan di pusat kuarantin yang sama keranakita ingin kurangkan risiko jangkitan dengan menjaga penjarakan sosial.

“Oleh itu, semua harus kekal di bilik masing-masing ketika ditempatkan di pusat kuarantin selama 14 hari tempoh pengeraman, manakala semua makanan akan disediakan.

“Kita ambil purata 14 hari untuk tempoh pengeraman, meskipun ada satu atau dua kes yang menyaksikan ia lebih daripada itu, bermaksud gejala COVID-19 muncul pada hari ke-15 dan seterusnya,” katanya.