MATTA gesa kerajaan lanjutkan tempoh moratorium bagi industri pelancongan

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan lagi bagi industri pelancongan memandangkan sektor ini merupakan antara penyedia pekerjaan yang utama dan penyumbang penting kepada ekonomi negara.

MATTA menerusi kenyataan semalam berkata industri pelancongan dan perjalanan telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan kajian menunjukkan ia hanya akan pulih daripada krisis semasa jauh lebih perlahan daripada sektor lain dalam ekonomi Malaysia.

Tambahan pula, pada 6 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kenyataan bahawa industri pelancongan memerlukan empat tahun untuk pulih, menurutnya.

"Ramai peserta pelancongan mengalami kemerosotan pendapatan sejak Mac 2020 susulan kemelesetan dan pengangguran. Bergantung semata-mata kepada pelancongan domestik sahaja tidak mencukupi untuk mengekalkan pemiagaan dan individu yang berkerja dalam industri ini," kata Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang. -Bernama