`Moratorium pelancongan perlu dilanjut’

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan melanjutkan lagi tempoh moratorium selama enam bulan buat industri pelancongan.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata sektor itu adalah antara penyedia pekerjaan yang utama dan penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Katanya, industri pelancongan dan perjalanan terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan kajian menunjukkan ia hanya
akan pulih daripada krisis semasa jauh lebih perlahan berbanding sektor lain dalam ekonomi Malaysia.

“Tambahan pula, pada 6 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kenyataan bahawa industri pelancongan memerlukan empat tahun untuk pulih.

“Ramai peserta pelancongan mengalami kemerosotan pendapatan sejak Mac 2020 susulan kemelesetan dan pengangguran.

Bergantung semata-mata kepada pelancongan domestik tidak mencukupi untuk mengekalkan perniagaan dan individu yang bekerja dalam industri ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kok Liang berkata, ketidakmampuan industri membayar semula pinjaman mereka disebabkan peraturan ketat dan permintaan yang lemah.

Katanya, peminjam individu yang bekerja dalam industri hospitaliti dan pelancongan juga harus diberi lanjutan moratorium
enam bulan lagi kerana ramai yang menghadapi pemotongan gaji, cuti tanpa gaji atau diberhentikan.

“Ramai yang tidak mampu membayar balik pinjaman mereka dalam keadaan tertekan dan kadar pengangguran meningkat dengan cepat,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganggarkan kerugian yang dialami oleh industri pelancongan dan budaya bernilai RM45 bilion dari segi perbelanjaan pelancongan dan kira-kira satu juta pekerja dalam industri pelancongan di Malaysia dijangka hilang pekerjaan mereka tahun ini.

“Ketidakupayaan industri pelancongan secara kolektif untuk membayar hutang disebabkan tekanan di luar kawalannya.

“Dalam hal ini, industri mendesak kerajaan campur tangan berbanding menyerahkan keputusan kepada institusi perbankan swasta yang akan membuat keputusan berdasarkan syarat penilaian risiko industri dan memaksimumkan kekayaan pemegang saham,” katanya.