DPN lonjak industri pelancongan mulai tahun depan - MATTA

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangkakan pengumuman Perdana Menteri berhubung Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 bakal melonjakkan lagi industri itu bermula tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata dengan adanya dasar sedemikian industri pelancongan dijangka pulih selepas tiga tahun akan datang selepas hampir lumpuh ketika ini.

Katanya, ia termasuklah merangka semula strategi destinasi pelancongan, digitalisasi, pembangunan infrastruktur, peningkatan kemahiran, penjenamaan semula dan mengemaskan semula industri.

"Ia perlu memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk menyusun dan mencipta semula pelancongan yang lebih baik dan lestari demi masa depan.

"MATTA juga mengharapkan kedua-dua sektor kerajaan dan swasta memainkan peranan yang lebih bagi memastikan pemulihan serta meningkatkan pelancongan Malaysia menjadi destinasi antarabangsa pilihan dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kok Liang berkata, pengumuman Perdana Menteri itu juga adalah inisiatif serta permulaan yang baik untuk tahun 2021 dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MoTAC) serta agensi kerajaan harus memainkan peranan selaras dengan inisiatif itu.

"Perkara yang perlu ditumpukan adalah berkaitan transformasi pentadbiran memandangkan pihak berkepentingan pelancongan sudah bertahun tidak menerima faedah dan kita berharap perubahan ini mampu meletakkan kita ke peringkat global," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin ketika melancarkan DPN hari ini berkata dasar itu akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama, iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif dan menggiatkan digitalisasi pelancongan.

Teras lain adalah memperkaya pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua subsektor pelancongan.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/768369/dpn-lonjak-industri-pelancongan-mulai-tahun-depan-matta