Guangxi pikat pelancong Malaysia

Guanxi Autonomous Region Tourism  Development Commission terus fokus mempromosikan Guangxi, China sebagai pusat pelancongan terkenal yang kaya dengan sumber alam semula jadi serta mempunyai pemandangan cantik serta keunikan budaya dimiliki.

Timbalan Pengarahnya, Hu Jing Bo berkata, promosi mengenai Guangxi diadakan di Malaysia kerana rakyat di negara ini mencatatkan antara jumlah tertinggi  dan berada pada kedudukan ketiga teratas jumlah pelancong ke Guangxi.


Menurutnya, kira-kira 13 juta pelancong dari Malaysia ke Guangxi dan beliau menjangkakan jumlah berkenaan akan terus meningkat.

"Kami yakin menerusikerjasama yang baik antara Malaysia dan China serta beberapa kolaborasi yang akan diadakan pada masa akan datang membolehkan sasaran itu dicapai.

“Kolaborasi antara China dan Malaysia khususnya dalam industri pelancongan akan beri manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Toursim Promotion Conference Guangxi di The Vertical, Kuala Lumpur, semalam.

Program berkenaan turut dihadiri Naib Presiden Outbound Matta, Cynthia Tan; Naib Pengarah Beihai Tourism Development Committee, Tang Li Ping; Ketua Bahagian Guangxi Tourism Development Commission; Zeng Tong dan Chen Xiao He; Pengarah Beihai Tourism Development Committee, Lu XingDong; dan Ahli Parti Beihai Tourism Development Committee, Lou Zhi Qiang.

Jing Bo berkata, Guangxi mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi dan masyarakatnya mengamalkan cara hidup yang unik.

"Selain itu, Guangxi turut mempunyai sejarah tersendiri, memiliki  pelbagai makanan daripada kepelbagaian etnik dan kepelbagaian budaya.

”Malah, bentuk muka buminya bergunung-ganang dan subur memberikan ketenangan kepada pelancong,” katanya.

Jing Bo berkata, program industri pelancongan Guangxi bertemakan 'East or West Guangxi Landscape Is The Best'', memberi peluang kepada 200 pengunjung melihat kecantikan Guangxi melalui enam filem pendek bertajuk Lao, Shao, Bian, Shan, Hai dan Shou.

"Pengunjung yang hadir terdiri daripada agensi pelancongan, wakil perindustrian pelancongan dan sebagainya.

”Mereka juga berpeluang melihat muzik dan tarian tradisi Guangxi serta mendapat peluang menyaksikan keindahan adat tradisi budaya kuno yang penuh misteri dan cara hidup penduduk kampung yang kebanyakannya berumur panjang.

"Turut diadakan ialah teknologi dan estetik fesyen yang digabungkan untuk memberikan program itu sangat istimewa.

”Tetamu juga dapat melakukan pelbagai aktiviti antaranya menikmati makanan tradisi dan minuman teh yang terkenal dalam kalangan penduduk Guangxi berharga ribuan ringgit," katanya.

Tambahnya, sesi soal jawab interaktif dan mudah alih mengenai Guangxi turut diadakan.

 

Rujukan: http://www.sinarharian.com.my/bisnes/guangxi-pikat-pelancong-malaysia-1.862850