Pelancong India naik 23.2 peratus

Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) komited menarik lebih ramai pelancong India untuk melawat Malaysia.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, MATTA memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan beberapa persatuan pengembaraan dan pelancongan India untuk merancakkan lagi pelancongan antara kedua-dua negara.

Katanya, MATTA sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Persatuan Ejen Pelancongan India (TAAI), Persekutuan Ejen Pelancongan India (TAFI) dan Persatuan Operator Outbound India (OTOAI).

“Jumlah pelancong dari India mencatatkan peningkatan daripada 552,739 pada 2017, 600,311 pada 2018 dan 750,000 dijangka pada 2019,meningkat sebanyak 23.2 peratus.

“Sasaran ini boleh dicapai kerana kerajaan Malaysia melanjutkan sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI), dengan mengecualikan pelancong dari India dan China daripada memohon visa untuk lawatan sehingga 15 hari.

“Selain itu, Malaysia juga bersedia menerima pelancong dari India terutama sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Tan berkata, MATTA akan terus menyokong kerajaan dan Tourism Malaysia dalam membangunkan India sebagai pasaran sumber pelancongan yang kukuh.