MATTA, PIKOM meterai MoU

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengorak langkah mengukuhkan operasi perniagaan berteraskan digital menerusi rangkaian kerjasama strategik.

Matlamat itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MATTA dan Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) di ibu negara, semalam.

Kerjasama yang bakal menyaksikan lonjakan promosi industri pelancongan menerusi rangkaian pemasaran dan penganjuran pelbagai aktiviti tahunan di Malaysia itu disempurnakan Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang dan Pengerusi PIKOM, Chin Chee Seong.

Kok Liang ketika mengulas kerjasama terbaru itu berkata, pelaksanaan strategi operasi bersandarkan digital adalah pemangkin perniagaan, selaras kecenderungan generasi masa kini ke arah penggunaan teknologi dalam pelbagai urusan harian.

"Oleh itu, agensi pelancongan dan kembara wajar 'membuka pintu' terhadap transformasi operasi perniagaan berteraskan penyelesaian teknologi untuk kekal berdaya saing.

"Menerusi pemeteraian MoU ini, kita berupaya memacu pelaksanaan penyelesaian teknologi yang meneroka pelbagai peluang dan mengukuhkan perniagaan dalam kalangan anggota MATTA.

"Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan dan percutian Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Pasca pemeteraian MoU itu, Kok Liang berkata, usaha akan terarah kepada penerokaan kerjasama menerusi pentas digital bagi mempromosikan pelancongan tempatan, selain membawa masuk pakar untuk manfaat anggota MATTA dan PIKOM.