95,000 tempahan hotel dibatalkan akibat koronavirus [METROTV]

Dakwaan bahawa lebih 95,000 tempahan hotel di seluruh negara telah dibatalkan akibat wabak koronavirus adalah benar.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, pihaknya maklum dengan dakwaan berkenaan dan mengesahkan ia adalah benar.

“Banyak tempahan sudah dibatalkan dengan kebanyakannya adalah pelancong dari China.

“Jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM40 juta,” katanya pada sidang media mengumumkan pelaksanaan Pameran MATTA Cuti Cuti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Tan berkata, pembatalan penerbangan dari China juga secara tidak langsung menjejaskan industri pelancongan memandangkan kira-kira 13 peratus daripada jumlah pelancong adalah dari China.

“Namun, dengan pelbagai komen dan berita yang berlegar di media sosial juga boleh menyebabkan pelancong dari negara lain turut bimbang untuk berkunjung ke sini.

“Kita risau jika mereka anggap Malaysia tidak lagi selamat untuk dikunjungi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menggesa kerajaan untuk memperkenalkan pakej rangsangan bagi membantu industri pelancongan khususnya dengan penurunan jumlah pelancong di beberapa destinasi.

“Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu adalah antara destinasi yang terjejas.

“Tidak perlu kaji terlalu lama dan buat keputusan dengan segera supaya kami boleh memberi fokus terhadap tugas utama kami iaitu untuk mempromosikan Malaysia,” katanya.

Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/02/543477/95000-tempahan-hotel-dibatalkan-akibat-koronavirus-metrotv