Peruntukan tak bantu pulih sektor pelancongan

PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang disifatkan tidak menyediakan program bantuan kukuh untuk melindungi pekerjaan dan perniagaan pelancongan.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, pihaknya berpandangan peruntukan yang diberi tidak banyak membantu sektor pelancongan menuju ke arah pemulihan.

"Belanjawan 2021 tidak mengambil kira kebajikan 3.6 juta pekerja dalam sektor ini khususnya di bawah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Permintaan perjalanan akan terus berkurangan dengan sekatan perjalanan berterusan sehingga vaksin disediakan.

"Ia gagal menangani masalah utama dalam sektor ini iaitu melindungi pekerjaan. Program subsidi gaji seharusnya diperbaiki untuk mengelakkan pemberhentian berterusan dan moratorium pinjaman seharusnya dilanjutkan sehingga Jun 2021 untuk perniagaan pelancongan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, industri pelancongan yang merangkumi beberapa komponen termasuk penginapan, ejen pelancongan, operator perjalanan, pengangkutan serta penyedia makanan dan minuman menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji lebih 3.5 juta individu.

"Anggaran itu tidak termasuk insentif untuk meningkatkan pelancongan domestik dan dipandang sebagai tidak mencukupi bagi memperkasa industri pelancongan pada masa-masa yang mencabar ini.

"Peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan adalah tidak memadai untuk meningkatkan produk pelancongan.

"Prospek masa depan untuk 12 bulan akan datang juga dilihat suram dan tanpa sokongan yang tepat, kita pasti akan melihat industri ini menguncup dengan cepat dan drastik," katanya.

Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/11/639026/peruntukan-tak-bantu-pulih-sektor-pelancongan