MATTA Desak Hukuman Maksima Bagi Penipuan Pakej Umrah

KUALA LUMPUR, 30 Dis:  Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan pakej umrah yang ditawarkan dibawah harga minima pasaran.

Menurutnya, pakej umrah yang lebih murah dari harga minima pasaran iaitu RM4,900 untuk pakej asas adalah tidak wujud.

Oleh itu, beliau menegaskan orang ramai agar berurusan dan hanya membeli dari ejen pelancongan yang berlesen dan berdaftar dibawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan bukan dengan syarikat atau individu yang tidak bertauliah.

“Sekiranya terdapat bukti yang menyabitkan kesalahan, pelaku mesti diberikan hukuman maksima sebagai tauladan dan bagi membanteras segala kegiatan yang mengambil kesempatan terhadap orang ramai terutama bakal jemaah,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan mengatakan polis Terengganu membongkar kegiatan penipuan pakej umrah yang dijalankan sebuah yayasan di negeri tersebut melibatkan kerugian kira-kira RM14.2 juta.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman, pakej berkenaan bernilai RM6,990 seorang namun mereka hanya perlu membayar kira-kira RM3,000 sahaja manakala baki selebihnya dikatakan akan dibiayai oleh syarikat yang membuat tajaan.

Berdasarkan laporan tersebut, Hamzah menasihatkan supaya ada pihak yang tampil untuk membantu kumpulan jemaah dengan memberi derma kepada mereka supaya mereka dapat menjalankan ibadah umrah.

“Jika ada pihak yang ingin menyediakan sumbangan atau bersedekah untuk pakej Umrah, sila ke depan dan berhubung dengan MATTA, supaya bakal jemaah yang terlibat akan dapat menikmati manfaat tersebut dengan yakin,” ujarnya.