MATTA: Ratusan syarikat terjejas jika Tabung Haji urus umrah

KUALA LUMPUR, 21 Dis ― Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tidak bersetuju urusan perjalanan jemaah Umrah diletakkan di bawah Tabung Haji seperti yang disarankan sebuah persatuan pengguna semalam.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA Shahrulnezam Mohd Daud berkata sejak sekian lama, mereka yang mengendalikan perjalanan jemaah Umrah perlu mendapatkan lesen ‘Outbound’ (perjalanan ke luar negara) daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan baru-baru ini, hanya pengendali perjalanan ke luar negara yang mempunyai Lesen Khas Umrah dibenar berbuat demikian.

“Ini bermakna, langkah perlindungan yang diperlukan sudah ada dan tidak perlulah lagi diwujudkan yang baharu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shahrulnezam berkata kerugian akibat penipuan Umrah berjumlah purata RM5 juta setahun, lebih rendah daripada kerugian RM5 bilion yang dialami satu juta rakyat Malaysia melalui penipuan permainan wang pelaburan tahun ini sahaja.

“Bagaimanapun, adalah amat menyedihkan apabila melihat harapan jemaaah berkecai akibat perbuatan penipu yang tidak berperikemanusiaan.

"Kebanyakan yang melakukan perkara keji itu adalah orang tengah atau individu bekerja secara bersendirian, yang menghilangkan diri setelah mengumpul banyak wang.

“Risiko seperti itu boleh dikurangkan dengan menjadikan pengendali perjalanan Umrah berlesen bertanggungjawab bagi perbuatan subejen, tidak kira sama ada ia adalah agensi pelancongan atau individu yang mewakili mereka,” katanya.

Shahrulnezam berkata, setiap tahun, sebahagian besar jemaah Umrah tidak mengalami masalah dan oleh itu, adalah tidak bijak sekiranya mekanisme sedia ada dipinggirkan serta meletakkan beratus-ratus perusahaan kecil dan sederhana dalam keadaan bahaya.

“Sukarlah nanti bagi pengusaha syarikat pelancongan Bumiputera dalam sektor swasta untuk bersaing dan mengekalkan perniagaan mereka sekiranya ia diambil alih sebuah agensi kerajaan lain,” katanya. ― Bernama


Source: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/matta-ratusan-syarikat-terjejas-jika-tabung-haji-urus-umrah#UJaj7ZMVeLWM3Mdv.97