MATTA Nasihat Elak Pakej Murah Umrah

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelancongan murah, khususnya umrah, bagi mengelak daripada tertipu.

Presiden MATTA Datuk Hamzah Rahmat berkata orang ramai perlu berurusan dan membeli pakej umrah hanya daripada ejen perjalanan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, bukan daripada syarikat atau individu tidak berdaftar.

“Tidak ada pakej umrah murah dan mereka yang percaya boleh mendapatnya dengan lebih murah daripada minimum RM4,900 bagi pakej asas, akan tahu padahnya kemudian, tetapi ketika itu sudah terlalu lewat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Semalam, polis mendedahkan satu pakej umrah tipu yang ditawarkan satu entiti di Terengganu melibatkan kerugian dianggarkan RM14.2 juta dan menjejaskan 4,800 bakal jemaah.

Hamzah berkata mereka yang terlibat dengan penipuan pakej umrah perlu didakwa dan dikenakan hukuman maksimum bagi menghalang mereka yang berniat menipu orang ramai daripada berbuat demikian.

Beliau juga meminta penderma yang ingin memberi subsidi bagi pakej umrah supaya bekerjasama dengan MATTA untuk kebaikan jemaah.